Definisi dan amalan gaya hidup lestari
'Kelestarian' telah menjadi terma yang popular pada masa kini. Baca selanjutnya untuk definisi kelestarian dan cara mengamalkannya.
Adakah anda sedar bahawa topik pencemaran dan perubahan iklim kini menjadi kelaziman? Topik sebegini adalah tidak terkecuali daripada menghiasi laman berita berkenaan alam sekitar. Malangnya, punca isu-isu ini adalah pelepasan karbon daripada akitiviti manusia, seperti kebakaran minyak fosil, penternakan haiwan dan penebangan hutan. Seperti peribahasa hilang kabus, teduh hujan; perkataan ‘kelestarian’ juga telah menjadi terma yang popular pada masa kini. Ini bermakna kita berkemampuan memusnahkan atau membaik pulih alam sekitar. Maka, apakah maksud kelestarian hidup? Menurut United Nations Environment Programme, kelestarian hidup adalah cara hidup, pembawakan sosial dan membuat pilihan yang mengurangkan kemerosotan alam sekitar serta menyokong pembangunan sosio-ekonomi yang saksama dan penambahbaikan kualiti hidup untuk semua. Jom kita melihat cara mengamalkan gaya hidup yang lestari secara meluas.
Amalkan 5R
Kita sudah lazim dengan amalan 3R, namun penambahan amalan 2R adalah penting dalam memupuk kesedaran hidup dengan lebih lestari. Menurut naskah Zero Waste Home, aktivis Bea Johnson telah mencipta satu rangka untuk mengurangkan sisa iaitu 5R, yang diringkaskan menurut kepentingannya dan ia bermula dengan amalan ‘refuse’ atau menolak.
- Refuse / Tolak
Penolakan adalah langkah pertama dalam mengurangkan sisa, terutamanya barangan dan produk yang tidak boleh dikitar semula. Walaupun ia mengambil masa diingati, anda boleh mulakannya dengan mengatakan tidak kepada penggunaan penyedut minuman plastik dan beg plastik.
- Reduce / Kurangkan
Ia merujuk kepada pengurangan kegunaan produk yang berbahaya dan tidak boleh dikitar semula, seperti plastic sekali guna dan pembungkus makanan. Mengurangkan sisa makanan juga bermanfaat – maka, beli makanan yang mampu dihabiskan atau berkongsi makanan yang banyak kuantitinya. Ini akan mengurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan sampah, di mana ia boleh memberi kesan negatif kepada tanah, air dan alam secara keseluruhannya.
- Reuse / Guna Semula
Mungkin anda telah mula menyedari akan jumlah cawan dan bekas makanan plastik yang telah dibuang ke tapak pelupusan sampah. Gantikan dengan bekas makanan, kutleri, botol air dan cawan yang boleh diguna semula. Jika anda perlu membungkus makanan, anda boleh mencari restoran yang membenarkan anda membawa bekas makanan dan cawan sendiri.
- Recycle / Kitar Semula
Ramai di antara kita telah belajar tentang kitar semula pada waktu persekolahan. Ambil tahu barangan yang anda boleh kitar semula, dan amalkan penolakan, pengurangan dan guna semula barangan yang tidak boleh dikitar semula. Mengasingkan sampah dan sisa di rumah mengikut kategori plastik, besi, kertas, gelas, sisa makanan, sisa elektronik, dan pakaian adalah amalan yang baik.
- Rot / Reput (Kompos)
Selain itu, amalan lestari juga boleh dilakukan dengan penghasilan sumber berharga daripada sisa makanan dan bahan organik melalui proses pengkomposan sisa di rumah. Gunakan buah-buahan, sayuran serta hasil pangkasan halaman untuk dijadikan baja tinggi nutrisi yang boleh menyuburkan taman dan mengurangkan sisa di tapak pelupusan. Anda boleh mencari pelbagai tips berguna untuk memulakan langkah.
Kesemua amalan 5R ini mungkin berat untuk dilaksanakan sekaligus. Walau bagaimanapun, anda boleh mulakan dengan menolak barangan atau produk yang tidak diperlukan atau yang memudaratkan alam sekitar.
Mengurangkan penggunaan tenaga
Penggunaan tenaga menyumbang kepada jejak karbon seseorang. Kita tidak mungkin dapat mengelak daripada penggunaan tenaga, tetapi kita boleh mengurangkan penggunaan elektrik dan gas. Matikan suis barangan elektrik yang tidak digunakan, gunakan pengangkutan awam, dan kurangkan masa penggunaan telefon bimbit anda. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan jejak karbon anda, tetapi anda dapat menjimatkan duit dengan kos utiliti yang lebih rendah!
Meminimumkan penggunaan tenaga adalah satu langkah ke arah kehidupan lestari – apa yang penting adalah untuk mengelak pembaziran sumber tenaga sedia ada.
Meneliti tabiat perbelanjaan
Memupuk gaya hidup lestari juga boleh bermula dengan meneliti tabiat perbelanjaan anda. Ini bermakna anda hanya perlu berbelanja mengikut keperluan untuk meneruskan hidup, menyara dan melindungi anda dan keluarga. Namun begitu, ini tidak bermakna anda perlu mengelakkan perbelanjaan untuk memenuhi kehendak; buat pilihan bijak dan berhati-hati dalam mengatur perbelanjaan anda. Anda juga boleh membeli barangan dan hasil tempatan. Ini akan mengurangkan jejak karbon dan manfaatkan masyarakat sekeliling.
Dengan meneliti tabiat perbelanjaan, anda boleh mengenalpasti keperluan penting dan apa yang boleh dikurangkan. Amalan ini turut menyokong usahawan tempatan dan ia merupakan langkah yang baik ke arah kehidupan lestari.
Kita baru sahaja mula memahami cara hidup lebih lestari, namun langkah-langkah mudah boleh diambil dan ia akan memberi impak positif kepada bumi kita serta masyarakat sekeliling. Cubalah amalkan langkah 5R, kurangkan penggunaan tenaga, dan teliti tabiat perbelanjaan kita. Langkah yang mana boleh anda amalkan untuk menjadi lebih mesra alam pada hari ini?