Kami mengambil maklum kenyataan media terkini yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia mengenai langkah sementara untuk semakan caruman pelan perubatan. Sebagai pengendali takaful yang bertanggungjawab, kami mengambil berat tentang perkara ini dan kekal komited untuk melakukan yang terbaik demi keutamaan pelanggan kami. Langkah sementara ini bertujuan untuk memberikan pelanggan kami fleksibiliti bagi mengatur dan mengurus kewangan serta mengekalkan perlindungan perubatan mereka.

 

Kami memahami kepentingan untuk memastikan pelanggan kami mendapat maklumat terkini dan akan menyediakan makluman sebaik sahaja terdapat perkembangan baharu.

 

Sementara itu, kami menggalakkan anda untuk klik di sini untuk maklumat lanjut atau menghubungi talian khas khidmat pelanggan kami di 1-300-13-8338 dan tekan 6 selepas pilihan bahasa, dari Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi - 5.15 petang (kecuali Cuti Umum) untuk bantuan lanjut.

 

Bajet kewangan keluarga dengan gaji T20 di Malaysia

Bajet kewangan keluarga dengan gaji T20 di Malaysia

Kebiasaannya bagaimanakah gambaran kehidupan seorang yang kaya raya? Kebanyakan orang akan membayangkan sebuah kehidupan yang senang lenang.

Social Share XF (BM)
Bajet kewangan keluarga dengan gaji T20 di Malaysia

Kebiasaannya bagaimanakah gambaran kehidupan seorang yang kaya raya? Kebanyakan orang akan membayangkan sebuah kehidupan yang senang lenang. Pagi bersarapan di tepi kolam, makan malam berlatar belakangkan KLCC, bercuti bersama keluarga di Eropah, memandu kereta mewah dan tinggal di rumah banglo dengan lapan bilik tidur.

Inilah gambaran hidup orang kaya yang sering ditayangkan dalam drama televisyen dan media sosial. Satu kehidupan yang bebas daripada sebarang masalah kewangan

Namun hakikatnya tidak seindah itu. Ramai di luar sana yang nampak sahaja kaya tetapi sebenarnya tidak. Hidup dikelilingi hutang-piutang. Malah ada yang kata “aku ni gaji je T20, tapi hidup macam B40”. Kenapa mereka kata begini?

Kerana mereka hidup dari gaji ke gaji. Baki yang tinggal sedikit sahaja atau mungkin tiada langsung selepas ditolak dengan perbelanjaan dan komitmen bulanan.

Ya, kita akui kos sara hidup semakin hari semakin tinggi. Tetapi jika kita lihat isu ini dengan lebih mendalam, ia lebih kepada masalah pengurusan kewangan. Lebih mendalam lagi, ia adalah masalah pengurusan kemahuan dan nafsu.

Layak VS Mampu

Jika gaji sudah T20 tetapi masih rasa seperti tidak cukup duit, kemungkinan besar mereka ini memiliki komitmen hutang yang tinggi.

Bayaran rumah sahaja mungkin sudah merangkumi 70% gaji bulanan. Mereka keliru antara layak dan mampu.

Individu yang layak meminjam RM800,000 untuk membeli rumah belum tentu mampu membeli rumah tersebut. Memiliki rumah ada kos lain yang perlu dibayar selain bayaran hutang bulanan seperti cukai pintu, kos penyelenggaraan, bil air dan elektrik. Garis panduan umum untuk pembelian rumah adalah bayaran bulanan hutang rumah tidak melebihi 30% gaji untuk memastikan anda tidak sesak dari bulan ke bulan.

Begitu juga dengan kereta. Jika anda layak memohon hutang RM100,000 untuk kereta, belum tentu anda mampu membeli kereta tersebut. Terdapat kos tersembunyi lain yang perlu diambil kira seperti kos penyelenggaraan, takaful kereta serta kos minyak dan tol.

Panduan mudah untuk anda tahu sama ada anda mampu memiliki kereta tersebut adalah dengan mendarab dua bayaran bulanan kereta anda. Sebagai contoh, bayaran bulanan adalah RM500, anda perlu menganggap bahawa anda perlu mengeluarkan RM1000 setiap bulan untuk perbelanjaan kereta. Jika tidak mampu, maka pilihlah kereta yang lebih murah.

Sarapan mewah atas kolam

Kemahiran buat duit VS Kemahiran urus duit

Ramai yang tidak sedar kemahiran buat duit dan kemahiran urus duit adalah dua kemahiran yang berbeza. Mereka menyangka dengan pendapatan atau gaji yang tinggi, semua masalah kewangan akan selesai.

Jika benar dengan pendapatan yang tinggi akan menyelesaikan semua masalah kewangan, mengapa masih ramai artis dan atlet terkenal yang hidup susah selepas tamatnya zaman kegemilangan mereka?

Semasa pemain bola sepak Ronaldinho bermain di AC Milan, pendapatan bulanan beliau adalah £480,000 sebulan. Satu jumlah yang tak pernah dibayangkan oleh kebanyakan orang. Tetapi pada tahun 2018, beliau dilaporkan hanya memiliki £5 sahaja di dalam akaun bank dan memiliki hutang sehingga £1.75 juta. Secara teknikalnya beliau muflis.

Memiliki pendapatan yang tinggi tidak menjamin kita berjaya dalam kewangan. Meningkatkan pendapatan itu bagus, tetapi jangan sampai perbelanjaan kita meningkat sama laju dengan pendapatan. Tiada satu amaun yang cukup jika kita gagal mengawal kemahuan dan nafsu.

Formula pengurusan kewangan mudah sahaja sebenarnya:

1.  Tingkatkan pendapatan.

2.  Kurangkan perbelanjaan.

3.  Laburkan lebihan pendapatan.

meningkatkan pendapatan, anda boleh menambah kemahiran baharu seperti mengambil sijil profesional, menukar kerjaya, kerja sampingan atau berniaga. Untuk mengurangkan perbelanjaan pula anda boleh melihat semula semua perbelanjaan dan nilaikan yang mana satu keperluan dan mana satu kemahuan.

Mengawal perbelanjaan bukan bermaksud kita tidak boleh berbelanja langsung untuk kebahagiaan diri seperti melancong dan membeli-belah, tetapi pada kadar yang munasabah. Ingat, kejayaan sebenar dalam pengurusan kewangan adalah mencapai kebebasan kewangan dan bebas hutang. Bukannya bergaji T20 tetapi menjalani kehidupan seharian seperti seorang B40.