Kemalangan di tempat kerja dan langkah perlu diambil majikan
Sebagai majikan, anda sudah mencuba yang terbaik dalam menyediakan tempat kerja yang selamat buat pekerja anda. Namun, kemalangan di tempat kerja kadang kala tidak dapat dielakkan. Apakah langkah perlu anda ambil sebagai majikan? Ketahui lebih lanjut dalam artikel ini.
Sebagai majikan, anda mungkin sudah mencuba sehabis baik dalam menyediakan tempat kerja yang selamat buat pekerja anda. Namun malang tidak berbau, ada kalanya kemalangan di tempat kerja tidak dapat dielakkan.
Menurut statistik kemalangan pekerjaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sebanyak 6,933 kes kemalangan di tempat kerja telah berlaku sehingga Disember 2020 iaitu sebanyak 213 daripada keseluruhan kes adalahkes kemalangan maut dan 274 kes melibatkan hilang upaya kekal.
Jenis kemalangan di tempat kerja
Kemalangan bermaksud satu kejadian yang memberi kecederaan, kematian atau kerosakan harta benda.
Sebagai contoh, sebatang besi jatuh menimpa Hakim semasa melakukan kerja di bengkel dan telah menyebabkan kecederaan. Di sini, sebagai majikan yang bertanggungjawab, anda boleh menyediakan pelan perlindungan bagi menampung rawatan Hakim.
Kemalangan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk bergantung pada keadaan persekitaran tempat kerja. Antaranya adalah kemalangan yang disebabkan oleh:
- Objek yang terjatuh dari atas
- Pekerja terpijak atau terhantuk pada objek
- Pekerja itu sendiri terjatuh
- Pekerja itu sendiri terperangkap di celah-celah sesuatu objek
- Kejutan elektrik, letupan, atau kebakaran
- Pendedahan kepada bahan-bahan toksid, radiasi atau pencemaran.
Terdapat 3 faktor utama yang menjadi punca kemalangan di tempat kerja iaitu faktor individu, faktor organisasi dan faktor persekitaran.
Faktor individu berpunca daripada ciri-ciri peribadi yang cenderung malang seperti masalah pendengaran dan penglihatan, umur, tahap kemahiran, gagal mematuhi peraturan serta tekanan tempat kerja.
Faktor organisasi pula melibatkan sifat kerja itu sendiri sama ada berbahaya atau tidak, jadual kerja dan masalah dalaman syarikat sehingga menyebabkan konflik.
Akhir sekali, faktor persekitaran merujuk kepada keadaan tempat kerja itu sendiri seperti kawasan sesak, peralatan tidak diselanggara dan suhu yang terlampau panas atau sejuk.
Keselamatan di pejabat
Selain itu, tempat yang dilihat selamat seperti pejabat juga tidak dijamin sepenuhnya bebas daripada sebarang kemalangan. Antaranya adalah tergelincir disebabkan permaidani rosak, kejutan elektrik atau “sick building syndrome” di mana pekerja akan berkeadaan tidak sihat apabila datang ke pejabat disebabkan keadaan pejabat.
Menurut Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), terdapat 4 jenis hazard di pejabat yang boleh menjadi punca kemalangan:
- Hazard fizikal - terdiri daripada hazard berkaitan suhu, pencahayaan, bising, getaran, tenaga elektrik, peralatan dan mesin.
- Hazard biologi - disebabkan oleh bakteria, virus, fungus yang mungkin berpunca dari alat pendingin hawa atau persekitaran tempat kerja.
- Hazard kimia - berpunca dari bahan asid atau pelarut organik dari aktiviti pencucian.
- Hazard ergonomik - berpunca dari pergerakan berulangan, tekanan sentuhan, berdiri/duduk untuk tempoh yang panjang
Hazard psikososial - berpunca dari tekanan emosi di tempat kerja seperti gangguan seksual, kerja yang banyak, syif, gaji yang rendah dan lain-lain.
Persediaan majikan berdepan kemalangan di tempat kerja
Sebaiknya, majikan perlu mencuba sehabis baik bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di tempat kerja. Ini mampu dicapai dengan mematuhi panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
KKP ini bertujuan melindungi para pekerja di tempat kerja daripada berlakunya kemalangan, kecederaan, dan pendedahan kepada bahan berbahaya. Anda boleh dapatkan rujukan lanjut mengenai KKP di laman rasmi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Tetapi, persediaan ini tidak menjamin kemalangan tidak akan berlaku.
Langkah seterusnya yang boleh diambil oleh majikan adalah dengan menyediakan pelan perlindungan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan. Dengan pelan perlindungan ini, anda mampu memberikan pilihan rawatan terbaik kepada pekerja anda.
Pekerja juga akan merasa lebih selamat dan terjamin dengan adanya pelan perlindungan lantas meningkatkan produktiviti mereka.
Bagi majikan pula, anda tidak perlu mengeluarkan wang syarikat bagi menampung perbelanjaan rawatan jika berlaku kemalangan. Anda juga tidak perlu bimbang dengan perbelanjaan mengejut yang mungkin mengganggu kedudukan kewangan syarikat.
Apatah lagi jika pekerja memerlukan rawatan berterusan yang menelan kos puluhan ribu Ringgit. Dengan merancang pelan perlindungan pekerja, anda boleh fokus kepada aktiviti yang lebih penting seperti menaikkan jualan dan mengembangkan syarikat.
Anda boleh baca lebih lanjut tentang pelan Takaful perniagaan di sini.
Penyediaan tempat kerja yang selamat dan jaminan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan akan memotivasikan pekerja untuk bekerja dengan lebih baik dan meningkatkan kualiti kerja mereka.
Selain itu, dengan manfaat perlindungan seperti ini, anda mampu meningkatkan kesetiaan pekerja dan mampu menarik lebih ramai bakat untuk bekerja di syarikat anda.
Rujukan:
- Statistik: https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2021/7.%20Julai/KENYATAAN%20MEDIA-NOA-combine(1).pdf
- Kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan: https://www.majalahsains.com/kepentingan-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan/
- Panduan Keselamatan di Pejabat NIOSH: http://www.niosh.com.my/images/Publication/Brochure/KeselamatanPejabat.pdf