Persediaan menghadapi kenaikan inflasi global
Inflasi, inflasi. Topik yang hangat dibincangkan pada masa kini. Dalam bidang ekonomi, inflasi merupakan sebuah fenomena yang mana berlakunya peningkatan harga umum barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa.
Inflasi, inflasi. Topik yang hangat dibincangkan pada masa kini. Dalam bidang ekonomi, inflasi merupakan sebuah fenomena yang mana berlakunya peningkatan harga umum barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Inflasi seluruh dunia yang kian meningkat dengan kadar pantas merupakan satu cabaran ekonomi yang memberikan kesan yang besar kepada seluruh lapisan masyarakat. Dalam artikel ini, kita akan mengupas strategi dan langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk bersedia menghadapi inflasi dan melindungi diri kita daripada terkesan dengan impak inflasi global ini.
Langkah mengatasi inflasi
1. Membuat pelaburan bijak
Salah satu langkah persediaan untuk menghadapi inflasi dan kemelesetan ekonomi adalah dengan membuat pelaburan yang bijak. Dengan mengamalkan cara ini, bukan sahaja anda dapat mengambil tahu tentang perkembangan ekonomi tetapi anda juga dapat mengambil tahu tentang isu inflasi global. Anda digalakkan untuk mempertimbangkan tentang pelaburan dalam aset-aset yang boleh mengekalkan atau meningkatkan nilai. Terdapat pelbagai jenis aset yang anda boleh terokai dan membuat pelaburan seperti emas, perak, hartanah, saham syarikat yang stabil serta pendidikan. Anda juga boleh membuat pelaburan untuk masa depan anda.
2. Menyediakan simpanan kecemasan
Langkah seterusnya untuk menghadapi inflasi adalah mengamalkan simpanan dana kecemasan. Dengan kadar inflasi dunia yang sedang giat meningkat, amalan penyimpanan kecemasan akan membantu anda kelak. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan. Kita tidak pernah dapat menjangka kecemasan atau musibah yang akan berlaku di masa hadapan. Melalui simpanan kecemasan, anda mampu menyelamatkan diri anda daripada musibah yang mungkin menelan belanja yang tinggi. Anda boleh mula menyimpan dana kecemasan anda melalui akaun simpanan asas, mulakan sedikit demi sedikit sehingga mencapai sasaran anda. Ingat, hanya gunakan dana ini untuk kecemasan sahaja!
3. Kurangkan hutang
Tidak dinafikan, dengan inflasi dan kemelesetan ekonomi, harga barangan dan perkhidmatan atau servis juga berubah mengikut keadaan semasa. Ada sesetengah pihak terpaksa membuat perbelanjaan berlebihan yang tidak wajar, untuk melindungi diri dan keluarga. Ada sesetengah pihak pula mengambil jalan mudah tapi mampu memudaratkan kewangan mereka iaitu mengambil hutang seperti hutang kad kredit ataupun pinjaman peribadi. Oleh yang demikian, anda disarankan untuk menjauhi hutang dan mengamalkan gaya hidup bebas hutang. Anda disyorkan untuk membuat pilihan yang tepat dan selamat, dan pada masa yang sama, hidup tenteram tanpa dibebani hutang-piutang.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa inflasi seluruh dunia mampu memberi kesan negatif terhadap perbelanjaan dan bajet seharian kita. Kemelesetan ekonomi akan memberi impak terhadap kehidupan seharian kita termasuklah perbelanjaan harian, servis kesihatan dan sebagainya. Ianya normal untuk memakan masa yang lama untuk menyesuaikan diri kita dengan kemelesetan ekonomi ini. Namun, kita mampu bertindak dengan membuat pelan untuk menghadapi inflasi global, dan pada masa yang sama melindungi diri kita daripada membuat perbelanjaan wang berlebihan yang tidak wajar.