Kepentingan perancangan persaraan dari awal
Pada 2013, umur persaraan wajib di Malaysia dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun! Mari kita lihat situasi persaraan kini dan apa yang boleh kita lakukan untuk persiapan menghadapi persaraan pada masa hadapan.
Penyelidikan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melaporkan bahawa kadar penuaan rakyat Malaysia lebih cepat daripada jangkaan. Lebih daripada 15% rakyat Malaysia akan mencecah umur 65 tahun ke atas menjelang tahun 2050. Untuk mengembangkan perspektif ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan negara yang semakin tua sebagai negara yang mana lebih 7% daripada rakyatnya berumur 65 tahun.
Tahukah anda? Pada 2013, umur persaraan wajib di Malaysia dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun! Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, anda mungkin menyedari bahawa persaraan kelihatan agak berbeza daripada sebelumnya. Jika anda telah membuat pemerhatian anda sendiri, anda juga akan menyedari bahawa walaupun ada yang telah menjangkau usia 60 tahun, mereka masih bekerja. Mungkin anda dapat melihatnya pada ibu bapa dan di kalangan saudara-mara anda sendiri!
Mari kita lihat situasi persaraan kini dan apa yang boleh kita lakukan untuk persiapan menghadapi persaraan pada masa hadapan.
Jangka hayat
Jangka hayat rakyat Malaysia meningkat setiap tahun, dan terus menunjukkan arah aliran menaik bagi tahun-tahun akan datang. Lebih 20 tahun yang lalu, jangka hayat rakyat Malaysia adalah sehingga awal 70-an. Kini, jangka hayat telah meningkat menghampiri 80 tahun! Ini bermakna akan ada warga emas yang lebih sihat dan hidup lebih lama, mungkin sehingga 90-an.
Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kemajuan teknologi dan perubatan kesihatan awam di negara kita. Pengawetan makanan juga bertambah baik seiring perkembangan teknologi, dan ubat-ubatan juga menjadi lebih baik dan lebih mudah diakses oleh setiap lapisan masyarakat. Bukan itu sahaja, semakin ramai rakyat Malaysia telah memilih gaya hidup yang lebih sihat dan aktif. Ini sudah pasti membolehkan seseorang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.
Kos sara hidup
Melihat kembali pada masa dahulu, sudah pasti kos sara hidup lebih murah berbanding sekarang. Kita sedia maklum bahawa kos sara hidup meningkat selama ini, jadi, memikirkan tentang inflasi bukanlah sesuatu yang aneh atau baharu bagi kita. Inflasi bukan sahaja dalam harga barangan runcit, malah dalam banyak perkara lain seperti kemudahan elektrik, air dan minyak. Semua ini, apabila digabungkan, akan menyumbang kepada harga yang lebih tinggi di restoran atau semasa bersiar-siar. Ini juga bermakna menaiki kapal persiaran dan bercuti di dalam atau luar negara akan menjadi begitu mahal, tambahan pula dengan nilai Ringgit yang semakin susut!
Idea persaraan pada masa lalu kelihatan lebih mudah dan senang, dan mungkin bagi sesetengah orang, jauh lebih menarik dan menyeronokkan. Kini, dengan jangka hayat kehidupan yang lebih lama dan kos yang meningkat, menuntut seseorang untuk mempunyai perancangan yang lebih baik dalam persiapan menghadapi persaraan yang tenang dan selesa.
Kos penjagaan kesihatan
Dengan peningkatan usia, kebarangkalian seseorang menghidap demensia dan penyakit lain juga meningkat. Apatah lagi, dengan usia mereka ini, mereka terdedah kepada kemalangan atau jatuh, dan mungkin hidup dengan penyakit kronik yang telah lama dihidapi. Perkara ini akan terus berkekalan dengan jangka hayat yang lebih panjang, justeru keperluan penjagaan dan perbelanjaan kesihatan menjadi lebih besar kepada seseorang pesara seakrang berbanding masa lalu.
Ini telah menyebabkan bilik hospital sentiasa penuh, yang dibuktikan dengan bilangan katil hospital yang sentiasa tidak mencukupi dan masa menunggu yang lama. Hal ini menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih hospital swasta berbanding hospital kerajaan. Malangnya, kos penjagaan kesihatan juga telah meningkat sejak beberapa tahun lalu; ini bermaksud kos yang lebih tinggi bakal ditanggung oleh golongan pesara pada masa hadapan.
Apa yang boleh kita lakukan?
Melihat pada perbezaan persaraan pada masa lalu berbanding masa kini menekankan kepentingan untuk membuat persediaan yang baik apabila anda semakin berusia dan menempuh alam persaraan. Walau bagaimanapun, anda boleh melindungi diri anda secara holistik. Kesihatan holistik ialah pendekatan kepada kesejahteraan menyeluruh seseorang, dan merujuk kepada kesihatan fizikal, kewangan, mental, emosi dan rohani seseorang itu.
- Kesihatan fizikal
Ia adalah penting untuk memastikan badan anda sentiasa cergas dan makan makanan yang seimbang sewaktu umur persaraan anda. Ini akan memastikan anda kurang cenderung untuk jatuh sakit dan membantu melambatkan atrofi otot yang boleh menjejaskan postur dan pergerakan anda. Menjadi sihat secara fizikal bermakna mengurangkan masa yang diluangkan bagi membuat lawatan doktor atau hospital, dan mengurangkan keperluan bagi penjagaan khas warga emas pada tahun-tahun persaraan kehidupan anda. Dengan ini, anda boleh menikmati waktu persaraan anda dengan tenang seperti bercuti dan meraikan kejayaan orang tersayang. Jika anda menghampiri waktu persaraan dan belum lagi membuat banyak persediaan tentang kesihatan fizikal anda, inilah masanya!
- Kesihatan kewangan
Menguruskan kewangan anda dengan baik dapat memberi kesan positif dalam persiapan hari persaraan anda. Sama ada melalui Takaful, simpanan, pelaburan, atau kesemuanya, ia boleh memastikan anda mempunyai kewangan yang cukup untuk penjagaan geriatrik, lawatan dan rawatan hospital sekiranya anda dijangkiti sebarang penyakit. Ini membolehkan anda mempunyai simpanan yang mencukupi untuk anda dan orang tersayang.
- Kesihatan mental & emosi
Menjaga kesihatan fizikal sekaligus membolehkan kita menjaga diri kita dari segi mental dan emosi, kerana ia boleh membantu dalam membebaskan endorfin yang mengurangkan tekanan dan meningkatkan perasaan. Menjadi lebih berusia tidak bermakna anda harus mengorbankan kehidupan sosial! Kelilingi diri anda dengan orang yang tersayang dan rakan anda pada waktu persaraan dengan meluangkan masa bersama ahli keluarga, atau menyertai komuniti yang mempunyai minat yang sama, seperti golf, catur, mengait atau apa sahaja.
- Kesihatan rohani
Selain itu, kesihatan rohani mempunyai kepentingan yang sama seperti yang lain. Waktu persaraan adalah waktu yang terbaik untuk anda mempersiapkan diri dalam perjalanan rohani anda sendiri bagi persediaan akhirat anda. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk anda mengabdikan diri sepenuhnya kepada iman anda, dengan melakukan amalan baik kepada orang lain.
Kesimpulan
Persaraan bukanlah sesuatu yang boleh kita elak, dan mungkin menakutkan; tetapi dengan memulakan langkah-langkah mudah sedikit demi sedikit, anda mungkin berasa lebih tenang apabila meningkat usia. Walaupun banyak rintangan dan cabaran yang mendatang, anda akan sedar bahawa ia lebih indah daripada jangkaan anda. Jika anda ingin memulakan perjalanan anda dengan meningkatkan kesihatan anda secara holistik dan tidak pasti bagaimana untuk bermula, anda boleh mula dengan membuat pilihan ke arah kesihatan kewangan yang hebat ke arah hidup persaraan yang tenang dan selesa.