Tips balik kampung: Persediaan keselamatan dan kewangan pada musim raya
Dalam kemeriahan berhari raya bersama keluarga dan sanak-saudara, janganlah kita lupa dan terleka dalam berbelanja. Dalam artikel kali ini, kami senaraikan tips keselamatan dan perancangan kewangan pada musim perayaan.
Sambutan hari raya 2022 kali ini tentunya tidak sama dengan sambutan raya pada tahun sebelumnya. Maklumlah, sudah 2 tahun kita tidak beraya. sudah pasti sambutan raya kali ini lebih meriah daripada biasa.
Namun, dalam kemeriahan berhari raya bersama keluarga dan sanak-saudara, janganlah kita lupa dan terleka. Tidak salah untuk seronok berbelanja jika kita sudah merancang daripada awal lagi.
Jadi dalam artikel kali ini, kami senaraikan tips keselamatan dan perancangan kewangan pada musim perayaan.
1. Buat perancangan awal
Raya hanya setahun sekali. Sebaiknya kita mulalah buat perancangan dari awal lagi. Bukan lagi sebulan nak raya barulah sibuk mencari duit atau lebih teruk lagi terpaksa meminjam untuk berbelanja di musim perayaan.
Ini 3 langkah untuk membuat bajet belanja hari raya:
a. Kira jumlah perbelanjaan sepanjang musim perayaan. Senaraikan setiap satu perbelanjaan yang akan dikeluarkan seperti baju raya, duit raya, kuih raya, kelengkapan rumah, kos perjalanan pulang ke kampung dan bahan masakan.
b. Bahagikan jumlah perbelanjaan kepada 10 bulan. Katakan anda memerlukan RM3,000 untuk perbelanjaan raya. Ini bermakna anda perlu menyimpan RM300 setiap bulan.
c. Bina tabung khas. Anda boleh simpan di akaun bank berasingan, ASB atau Tabung Haji. Jangan pula simpan di tempat yang berisiko dan tidak selamat.
2. Tips membeli-belah
a. Sediakan senarai barangan
Pastikan anda senaraikan dahulu barang yang ingin dibeli sebelum ke bazar dan pusat membeli-belah.
Tanpa senarai ini, anda mungkin terperangkap dengan promosi-promosi yang ditawarkan. Musim perayaan ini terdapat pelbagai tawaran yang akan membuatkan anda rambang mata. Risau terbeli barang yang tidak perlu pula nanti.
b. Beli secara atas talian
Sekarang ini semua barang sudah boleh dibeli secara atas talian. Malah ada kedai yang memberikan diskaun yang lebih tinggi jika anda membeli secara atas talian.
Anda juga lebih mudah membuat perbandingan harga dan dapatkan tawaran terbaik. Bonus jika anda dapat manfaatkan ganjaran tunai dan poin.
c. Pastikan ikut bajet.
Anda boleh pecahkan terus bajet mengikut kategori. Tetapkan berapa yang ingin dibelanjakan bagi setiap kategori. Sebagai contoh, tetapkan belanja baju raya RM150 setiap orang. Bagi 4 orang sekeluarga, jangan belanja lebih daripada RM600.
d. Elak guna kad kredit.
Bawa amaun yang cukup-cukup sahaja apabila keluar membeli-belah. Hal ini supaya kita tidak berbelanja lebih daripada kemampuan sehinggakan terpaksa berhutang. Janganlah sebab nak beraya sebulan kita terseksa membayar hutang berbulan-bulan.
3. Duit raya
Duit raya adalah adat, bukan syariat. Berilah duit raya mengikut kemampuan kita, yang lebih penting adalah keikhlasan.
Bab menerima pula, ajarlah anak-anak supaya menyimpan untuk masa hadapan. Simpanan ini nanti boleh digunakan untuk mereka belajar atau mulakan kehidupan.
Anda boleh simpan di instrumen pelaburan atau simpanan seperti Takaful yang boleh melindungi dan membina dana pendidikan.
4. Persiapan balik kampung
Sebelum pulang ke kampung, pastikan anda buat persiapan terlebih dahulu. Ada 2 perkara utama yang perlu dibuat iaitu keselamatan rumah dan keselamatan perjalanan pulang ke kampung.
a. Keselamatan rumah
i. Kunci semua pintu dan tingkap. Semak semua kemungkinan ruang yang boleh dipecah masuk oleh pencuri. Pastikan tingkap atau ruang kecil tidak mudah diumpil.
ii. Buka kepala tong gas. Hal ini bagi mengelakkan sebarang kebakaran berlaku.
iii. Tutup semua punca elektrik. Periksa semua suis yang ada dan cabut semua plug daripada suisnya.
iv. Simpan barang berharga di tempat selamat. Jangan biarkan duit atau barang kemas begitu sahaja di rumah. Simpan dalam peti keselamatan atau bawa sahaja pulang ke kampung.
v. Maklumkan kepada jiran. Jika ada jiran yang tidak pulang ke kampung, mereka boleh bantu tengokkan rumah anda dan maklumkan jika ada pergerakan mencurigakan.
b. Persiapan kenderaan dan perjalanan
i. Buat kira-kira. Kira semua kos terlibat dengan perjalanan pulang seperti kos minyak, bayaran tol dan kos servis kenderaan.
ii. Servis kenderaan. Kita tidak mahu tersangkut di tengah jalan dalam musim perayaan. Semak dahulu komponen utama seperti tayar, minyak hitam, brek dan lampu.
Setelah semua persiapan selesai, kita berserahlah kepada yang Maha Esa dengan berdoa dan bertawakal.
Akhir kata, perayaan yang bermakna tidak semestinya menelan belanja yang besar. Ingatlah kembali tujuan kita menyambut hari raya iaitu menyambut kemenangan di bulan Ramadan. Sambutlah hari raya dengan kesederhanaan dan kemeriahan bersama sanak saudara.
Untuk tingkat lagi perlindungan anda sekeluarga, carumlah Takaful yang sesuai untuk ketenangan minda sepenuhnya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri!
Rujukan:
- 5 Tip Berguna Sebelum Tinggalkan Rumah Sempena Hari Raya https://www.iproperty.com.my/lifestyle/5-tip-berguna-sebelum-tinggalkan-rumah-sempena-hari-raya/
- Periksa Kereta Awal Sebelum Balik Kampung Bahagian Asas https://www.careta.my/article/periksa-kereta-awal-sebelum-balik-kampung-bahagian-asas