4 cara menjana pendapatan sampingan

4 cara menjana pendapatan sampingan

Memulakan perniagaan sendiri memerlukan modal yang besarb agi menjana pendapatan ekstra, anda mungkin sedang mencari alternatif lain yang lebih mampu milik dan selamat. Ketahui lebih lanjut dalam artikel ini.

Social Share XF (BM)
4 cara menjana pendapatan sampingan

Anda nak cari duit tambahan?

Terdapat beberapa perkara yang mendorong seseorang untuk mencari pendapatan sampingan. Contohnya anda bimbang dengan keadaan ekonomi semasa dan merasakan jumlah simpanan perlu ditingkatkan. Atau anda mahu selesaikan hutang jahat.

Apa sahaja sebabnya, penambahan beberapa ratus ringgit sebulan mampu memberi kesan yang besar dalam status kewangan seseorang. Apatah lagi jika mampu menjana lebihan ribuan Ringgit sebulan.

Ingin memulakan perniagaan sendiri bukannya mudah, perlukan modal yang besar dan berisiko tinggi. Cara yang lebih selamat adalah dengan menjana pendapatan sampingan.

1. Pekerja bebas (Freelance) 

Bekerja bebas lebih kurang sama dengan bekerja separuh masa. Bezanya adalah anda tidak terikat dengan waktu kerja. Kerja mengikut kesesuaian masa sendiri, yang penting kerja siap tepat pada masanya.

Terdapat kerja-kerja bebas yang memerlukan kemahiran tertentu dan ada juga yang bersifat rutin seperti pengurusan data dan pembantu maya. Bagi mereka yang mempunyai kemahiran tertentu seperti pengurusan media sosial, menulis, reka bentuk dan membuat video, anda boleh menawarkan kemahiran-kemahiran ini.

Di mana nak cari kerja bebas?

Terdapat beberapa portal pekerja bebas yang terkenal seperti Fiverr, Upwork dan Freelancer.com. Ada juga portal yang fokus pada pekerjaan di Malaysia sahaja seperti Rtist dan The Kedua. Selain itu, anda juga boleh mencari di portal pekerjaan yang lebih terkenal seperti LinkedIn, Indeed dan Jobstreet. Akhir sekali, anda juga boleh lakukan sahaja carian kerja bebas di Google atau media sosial.

Tips mudah untuk mendapatkan kerja bebas.

Saingan bagi pekerjaan bebas sama tinggi seperti pekerjaan biasa. Oleh itu, untuk meningkatkan kemungkinan anda mendapat kerja bebas adalah dengan menyediakan portfolio. Portfolio adalah himpunan pengalaman kerja anda yang terdahulu. Jika anda memohon kerja bebas sebagai penulis, sediakan portfolio penulisan yang pernah anda hasilkan.

2. Buat dropship atau affiliate

Mulakan perniagaan tanpa perlu menyimpan stok atau mengeluarkan modal terlebih dahulu. Melalui dropship atau affiliate, anda hanya perlu mempromosikan produk dengan menggunakan pautan khas. Jika pembelian dibuat menggunakan pautan khas ini, anda akan diberikan komisyen.

Jana pendapatan sampingan melalui dropship atau affiliate

Terdapat beberapa platform yang menghimpunkan pelbagai jenama produk dalam satu sistem seperti Involve Asia. Terdapat lebih 100 jenama daripada pelbagai kategori seperti peralatan eletronik, produk kecantikan, buku dan produk kewangan di bawah Involve Asia.

Selain daripada itu, platform e-dagang seperti Shoppee dan Lazada juga menyediakan program affiliate mereka sendiri. Bagi mereka yang selalu membeli-belah di sini, boleh lah cuba menjana pendapatan dengan mempromosikan produk yang anda suka.

Anda boleh juga mencari atau bertanya terus kepada pemilik perniagaan sama ada mereka menyediakan sebarang program affiliate atau dropship. Sesetengah program affiliate turut membantu anda dengan teknik dan bahan pemasaran. Jadi anda tidak perlu pening kepala untuk membuat poster atau ayat iklan. Dari segi komisyen pula, ia bergantung kepada sesuatu produk. Komisyen bermula serendah 2% dan boleh mencapai sehingga 30% daripada harga jualan suatu produk.

3. Menjual kandungan digital

Kelebihan menjual kandungan digital adalah anda tidak memerlukan modal wang untuk menghasilkannya. Jika anda seorang yang gemar mengambil gambar atau mempunyai koleksi gambar yang menarik, anda boleh cuba untuk menjual gambar ini di laman fotografi seperti Shutterstock, 123RF atau Alamy.

Jana pendapatan sampingan dengan menjual kandungan digital

Anda juga boleh menjual templat dokumen tertentu berdasarkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada seperti templat perjanjian sewaan rumah, jadual senaman yang berkesan atau resume pekerjaan.

Antara produk digital lain yang sering dijual adalah e-buku dan kelas atas talian. Hanya perlukan ilmu dan pengalaman untuk menghasilkannya. Sebagai contoh, ada yang menjual kelas penternakan ayam secara atas talian berdasarkan pengalamannya sebagai penternak ayam.

4. Pekerjaan dalam ekonomi gig 

Ekonomi gig merujuk kepada pekerjaan yang tidak terikat dengan kontrak seperti mana kerja tetap. Majoriti pekerjaan gig berbentuk pekerjaan atas permintaan.

Mula menjana wang tambahan dan tingkatkan pendapatan anda dengan pekerjaan ekonomi gig

Antara pekerjaan gig yang dikenali ramai adalah perkhidmatan penghantaran makanan di Grab dan Foodpanda, penghantaran barang seperti GrabExpress dan Lalamove serta perkhidmatan e-hailing.

Selain itu ada juga pekerjaan gig untuk kerja-kerja am seperti mengemas rumah dan mengangkat barang. Antara platform yang menyediakan pekerjaan gig seperti ini adalah GoGet.

Anda boleh bekerja separuh masa mengikut kelapangan masa. Tetapi ada juga yang menjadikan pekerjaan gig sebagai pekerjaan sepenuh masa mereka.

Hendak bermula dari mana?

Mulakanlah dengan kemahiran dan ilmu yang anda ada dahulu. Jika anda ada kemahiran yang boleh dijual, anda boleh mulakan dengan membuat portfolio dan seterusnya mencari kerja bebas. Jika anda mempunyai ilmu tertentu untuk dikongsikan, anda boleh mulakan dengan menjual kandungan digital. Bagi dropship atau affiliate pula, mulakan dengan mempromosikan produk yang sering digunakan dan mempunyai permintaan yang tinggi terlebih dahulu.

Jika anda mempunyai minat yang mendalam mengenai bab kewangan, suka membantu orang lain dan rancak berbual, anda bolehlah mempertimbang kerjaya sebagai perunding takaful bersama Great Eastern Takaful. Boleh klik di sini untuk mendaftar.

Rujukan: