Panduan ringkas: tips kesihatan untuk puasa yang berjaya
Bulan Ramadan semakin menghampiri, ramai umat Islam sudah membuat persiapan untuk bulan suci ini seperti beribadah dan mengamalkan puasa sunat sebelum tibanya bulan puasa. Dalam menjalani ibadah puasa, penting untuk anda memberikan perhatian khusus terhadap kesihatan anda; secara fizikal dan mental.
Bulan Ramadan semakin menghampiri, ramai umat Islam sudah membuat persiapan untuk bulan suci ini seperti beribadah dan mengamalkan puasa sunat sebelum tibanya bulan puasa. Dalam menjalani ibadah puasa, penting untuk anda memberikan perhatian khusus terhadap kesihatan anda; secara fizikal dan mental. Dengan memahami cara yang terbaik untuk mengamalkan ibadah puasa yang sihat dan baik, anda dapat memanfaatkan faedah-faedah berpuasa secara penuh. Mari kita lihat tips kesihatan ketika berpuasa yang berjaya dan menyihatkan.
Menghidrasi diri
Sewaktu berpuasa, kita dilarang untuk makan dan minum sepanjang tempoh berpuasa tersebut. Hal ini mampu menuju ke arah dehidrasi jika anda tidak memenuhi keperluan air di dalam badan anda. Ianya disyorkan untuk anda meminum sekurang-kurangnya 8 hingga 12 gelas air kosong untuk mengelakkan diri anda dari dehidrasi.
Memandangkan kita dilarang untuk minum sewaktu berpuasa, adalah penting untuk anda pertimbangkan pengambilan air dan makanan anda sewaktu bersahur untuk kebaikan kesihatan anda. Anda disyorkan untuk elakkan mengambil sebarang minuman yang mengandungi kafein kerana kafein bersifat diuretik – membuatkan anda kerap ke tandas untuk membuang air, pada masa yang sama menghilangkan air di dalam badan secara pantasnya.
Mengawal saiz pemakanan
Sewaktu bulan Ramadan ataupun sewaktu mengamalkan ibadah puasa, waktu yang ditunggu-tunggu sekali adalah waktu Maghrib - waktu berbuka puasa. Ramai di kalangan kita yang seringkali gelojoh apabila masuknya waktu berbuka puasa dek kerana kelaparan sepanjang hari. Kita perlulah bersikap sederhana dan mengawal saiz pemakanan yang sihat kita sewaktu berbuka puasa mahupun bersahur.
Anda boleh mengawal pemakanan anda dengan makan secara beransur-ansur seperti makan makanan yang ringan seperti buah-buahan atau kuih muih dan diikuti dengan makanan yang lebih berat selepas beberapa jam, seperti selepas waktu Isyak ataupun selepas mengamalkan ibadah tarawih. Dengan ini, anda dapat mengelakkan badan anda dari makan berlebihan, perut buncit serta pembaziran makanan dan minuman.
Bersenam secara sederhana
Ramai yang masih menganggap kita tidak perlu bersenam ketika berpuasa. Bertentangan dengan tanggapan orang ramai, melakukan senaman semasa berpuasa adalah salah satu tabiat yang baik dan sihat yang perlu dilakukan oleh ramai.
Anda tidak perlu membuat senaman yang berintensiti tinggi, sekadar senaman ringan seperti berjalan, berlari anak mahupun berbasikal selama 30 minit sudah memadai. Untuk menggunakan masa senaman secara intensif, anda disyorkan untuk bersenam sebelum berbuka puasa di mana anda boleh menggunakan sisa tenaga anda sebelum berbuka puasa.
Rehat secukupnya
Disebabkan kita berpuasa dan menahan diri dari makan dan minum, tenaga kita kurang berbanding dengan biasa, maka penting untuk anda berehat dengan secukupnya. Elakkan menggunakan tenaga anda untuk aktiviti-aktiviti bertenaga tinggi dan pastikan anda mendapat tidur yang cukup.
Rancang masa anda dengan teratur supaya anda dapat berpuasa dengan tenang dan bertenaga. Apabila anda dapat tidur dan rehat yang mencukupi, anda dapat menaikkan prestasi otak anda dan bertenaga untuk beribadah dan meneruskan rutin harian anda.
Kesedaran terhadap pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang bersesuaian, dan penjagaan keseluruhan kesejahteraan boleh memberi impak positif pada pengalaman puasa kita. Dengan mengikuti tips kesihatan ini, anda dapat membua pelan kesihatan yang sewajarnya untuk mengelakkan malang yang tidak dijangka. Sama-sama kita jaga kesihatan tubuh dan minda, menjadikan bulan Ramadan ini sebagai peluang untuk berkembang dan meraih manfaat kerohanian dan fizikal.