Panduan penjagaan diri semasa musim panas

Panduan penjagaan diri semasa musim panas

Musim panas di Malaysia kebiasaannya berpunca daripada fenomena peralihan monsun atau El Nino di lautan pasifik. Musim panas ini boleh berlarutan selama beberapa hari atau minggu dan suhunya boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius

Social Share XF (BM)
Panduan penjagaan diri semasa musim panas

Musim panas di Malaysia kebiasaannya berpunca daripada fenomena peralihan monsun atau El Nino di lautan pasifik. Musim panas ini boleh berlarutan selama beberapa hari atau minggu dan suhunya boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius. Apa yang membimbangkan adalah musim panas ini boleh menyebabkan gelombang haba yang berbahaya.

Kesan daripada gelombang haba akan memberikan tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Hal ini lebih merisaukan apabila berlakunya kes kematian akibat strok haba di Malaysia, lebih-lebih lagi buat ibu bapa dengan anak kecil. Oleh itu langkah penjagaan diri perlu diambil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Ini 4 tips penjagaan diri semasa musim panas.

Minum air secukupnya

Perkara paling utama yang perlu dijaga semasa musim panas adalah memastikan badan anda sentiasa dihidrat. Minum sekurangnya 2.5 liter (bersamaan 8 gelas) air masak setiap hari. Sebagai tambahan, anda juga boleh minum air isotonik untuk menggantikan garam dan mineral yang keluar melalui peluh.

Selain itu, kurangkan juga pengambilan cecair yang menggalakkan perkumpulan air kencing seperti minuman berkafein, kopi, teh dan air berkarbonat. 

Pilih pakaian yang sesuai

Pemilihan warna sangat penting kerana warna menentukan kadar serapan haba. Menurut Institut Penyelidikan Alam Sekitar Kebangsaan Jepun, warna kuning, putih dan kelabu memiliki kadar serapan haba paling rendah. Manakala warna gelap seperti hitam mencatatkan kadar serapan haba paling tinggi.

Anda juga boleh memilih baju yang lebih nipis, longgar dan mempunyai ruang udara untuk keselesaan. Selain pakaian, anda boleh gunakan aksesori seperti topi atau payung bagi melindungi anda daripada panas dan terik cahaya matahari.

Selain daripada warna, material pakaian juga memainkan peranan yang penting dalam pemilihan pakaian yang sesuai pada musim panas. Pakailah pakaian yang dibuat daripada kapas kerana ia menyerap peluh dengan lebih baik berbanding material lain. Elakkan memakai pakaian yang diperbuat daripada material yang tidak menyerap peluh seperti nylon atau polyester kerana ia akan menyebabkan anda berasa lebih panas dan tidak selesa.

Ubahsuai rutin senaman

Musim panas bukanlah penghalang untuk anda kekal aktif. Anda mungkin perlu merubah sedikit rutin senaman anda. Antara perkara yang boleh diubah dalam rutin senaman anda adalah lokasi. Pemilihan lokasi yang lebih redup dan terlindung akan mengurangkan kepenatan akibat panas atau strok haba. Anda boleh memilih untuk bersenam di rumah, gimnasium atau tempat tertutup seperti dewan.

Pemilihan makanan yang kaya dengan air

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan air mampu mengelakkan badan anda dehidrasi. Antara makanan tambahan yang sesuai diambil adalah buah tembikai, timun dan air kelapa.

Buah yang kaya dengan air

Selain itu, anda juga boleh makan nasi bersama sup untuk menurunkan suhu badan.

Antara perkara penting lain adalah merancang aktiviti seharian anda untuk meminimakan pendedahan terhadap panas dan terik cahaya matahari. Elakkan juga untuk menunggu di dalam kereta untuk tempoh yang lama. Tahukah anda suhu di dalam kereta anda boleh meningkat lebih daripada 11 darjah Celcius dalam masa 10 minit sahaja apabila berada di bawah cahaya matahari?

Sebagai kesimpulan, ini adalah tips ringkas jika anda mempunyai gejala akibat cuaca panas seperti sakit kepala dan keletihan:

  • Keluar dari kawasan yang panas
  • Tanggalkan pakaian yang ketat
  • Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
  • Gunakan kipas untuk sejukkan badan
  • Minum air setiap 15 minit
  • Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal

Dapatkan lebih banyak tips berkaitan kewangan, perniagaan dan gaya hidup di blog Great Eastern Takaful.

Sumber rujukan 

https://flip.my/warna-pakaian-yang-sesuai-ketika-cuaca-panas/

https://gleneagles.com.my/ms/health-digest/prevent-heatstroke-during-hot-weather-malaysia

https://infosihat.moh.gov.my/cuaca-panas.html