Pelaburan patuh syariah pilihan tanpa ragu

Pelaburan patuh syariah pilihan tanpa ragu

Mengejar kekayaan bukanlah perkara yang dilarang dalam Islam. Malah umat Islam digalakkan untuk mencari rezeki, menjaga harta dengan baik serta mengembangkan harta mereka.

Social Share XF (BM)
Pelaburan patuh syariah pilihan tanpa ragu

Mengejar kekayaan bukanlah perkara yang dilarang dalam Islam. Malah umat Islam digalakkan untuk mencari rezeki, menjaga harta dengan baik serta mengembangkan harta mereka.

Dengan kekayaan seorang Muslim mampu membantu mereka yang susah, membantu menyebarkan agama dan meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Rasulullah SAW bersabda:

 ابتغوا في مالِ اليتيمِ، أو في مالِ اليتامى لا تُذهِبُها أو لا تَستَهْلِكُها الصدقةُُ

Maksudnya: “Carilah kelebihan (perniagakanlah) dalam harta anak yatim atau harta anak-anak yatim supaya ia tidak hilang atau dibinasakan oleh sadaqah (zakat).”

Riwayat al-Baihaqi (10983)

Hadith ini menyarankan agar harta anak yatim itu diperniagakan supaya ia berkembang. Ini membuktikan aktiviti pelaburan adalah perkara yang digalakkan dalam Islam.

Dalam Maqasid Syariah Islam yang lima juga menekankan aspek kepentingan menjaga harta, dan di dalam aspek tersebut, disebut juga berkenaan penjagaan harta termasuk dengan cara perkembangan harta yakni pelaburan dan lain-lain.

Namun dalam membina kekayaan, seorang Muslim perlulah mematuhi peraturan dan tuntutan yang telah ditetapkan syariah.

Maksud pelaburan patuh syariah

Pelaburan patuh syariah atau dikenali juga sebagai pelaburan halal adalah pelaburan yang berteraskan prinsip Islam dan berlandaskan hukum syariah. Hukum syariah adalah undang-undang Islam yang mempunyai larangan tertentu.

Pelaburan tersebut tidak boleh ada unsur-unsur yang melibatkan riba, gharar (spekulasi) dan maysir (perjudian). Selain itu, pelaburan syariah juga bebas daripada elemen-elemen lain yang diharamkan seperti rokok dan arak.

Apabila anda melabur dalam pelaburan patuh syariah, ini bermaksud anda melabur dalam aset yang bebas daripada perkara yang diharamkan dalam Islam.

Siapa tentukan pelaburan itu syariah atau tidak?

Untuk pengetahuan anda, badan yang berautoriti dalam industri pelaburan di Malaysia adalah Suruhanjaya Sekuriti (SC). Di mana SC akan mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat, mendaftarkan prospektus syarikat selain kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai, meluluskan terbitan bon dan lain-lain.

Pasaran modal di Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu pasaran modal konvensional dan pasaran modal Islam. Pada 16 Mei 1996, Majlis Penasihat Syariah (MPS) telah ditubuhkan bagi menjadi rujukan tunggal dalam soal-soal berkaitan syariah bagi pasaran modal Islam. MPS bernaung di bawah SC.

Sepertimana anda sedia maklum, majoriti rakyat Malaysia adalah Muslim. Oleh itu, akses kepada pelaburan patuh syariah sangat penting bagi memenuhi keperluan majoriti penduduk Islam.

5 jenis pelaburan patuh syariah

Pelaburan dalam pelan perlindungan Takaful

Dalam pelan takaful ini, anda dapat dua manfaat dalam satu pelan. Anda dapat perlindungan dan juga mengembangkan simpanan anda. Sekiranya anda menyertai takaful bayaran sumbangan anda akan dibahagikan kepada tiga iaitu:

  • Dana Tabarru`
  • Bayaran Wakalah atau fi pengendali Takaful
  • Dana/Akaun berkaitan pelaburan patuh syariah pilihan anda.

Selain itu, takaful juga adalah satu bentuk pelaburan akhirat. Di mana dana tabarru’ itu akan digunakan untuk membantu peserta takaful lain yang ditimpa musibah. Malah sedekah ini akan berterusan setelah anda meninggal dunia.

Anda boleh baca lebih lanjut tentang pelan pelaburan takaful daripada Great Eastern Takaful di sini: https://www.greateasterntakaful.com/bm/takaful-individu/produk-kami/pengumpulan-kekayaan.html

Amanah saham Islamik

Amanah saham juga dikenali sebagai unit trust atau unit amanah.

Amanah saham adalah satu instrumen pelabur di mana duit-duit pelabur akan dikumpulkan ke dalam satu tabung. Tabung ini akan dilaburkan oleh pengurus dana.

Ke mana dana ini dilaburkan? Apakah strategi pelaburannya? Ia bergantung kepada objektif dan kebijaksanaan pengurus dana.

Pelabur akan memperoleh keuntungan dalam 2 bentuk iaitu pengagihan pendapatan (dividen) atau kenaikan harga.

Cara untuk anda mengenal pasti sama ada amanah saham itu patuh syariah atau tidak adalah melalui nama. Jika nama dana disertakan dengan “Syariah”, “Islamik” atau “Sukuk”, ia bermaksud dana tersebut patuh Syariah.

Selain itu anda boleh juga menyemak status syariah dengan membaca Fund Fact Sheet dana tersebut.

Exchange Traded Funds (ETFs)

ETF adalah singkatan kepada Exchange Traded Fund.

Exchange traded bermaksud ia boleh dijual beli sesama pelabur. Fund pula bermaksud dana.

Dana ini konsepnya sama seperti konsep amanah saham. Ada dana yang melabur dalam saham, bon atau komoditi.

Perbezaan antara amanah saham dan ETF adalah cara dana ini diuruskan. Amanah saham melabur berdasarkan strategi pengurus dana. Manakala ETF diurus secara pasif dan mencuba ‘meniru’ indeks.

Saham patuh syariah

Membeli saham bermaksud kita membeli sebahagian daripada pemilikan perniagaan. Sebagai contoh jika anda membeli 100 unit saham Nestle, ini bermaksud anda merupakan salah seorang daripada pemilik Nestle.

Anda mempunyai hak untuk mengundi dalam mesyuarat tahunan mereka. Anda juga layak mendapat sebahagian daripada keuntungan syarikat melalui dividen.

Jika anda ingin memulakan pelaburan saham, anda perlu membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) terlebih dahulu.

Sumber: bursamalaysia.com

Emas

Emas adalah pelaburan yang sangat dekat dengan masyarakat Muslim di Malaysia. Anda boleh melabur emas secara tradisional dengan membeli barangan kemas dan bar emas. Tetapi dengan kemajuan teknologi hari ini, anda boleh juga melabur emas melalui akaun pelaburan atas talian dalam bentuk emas digital dengan modal permulaan yang lebih rendah.

Pelaburan emas patuh syariah
Hartanah

Pelaburan hartanah antara pelaburan yang popular buat kebanyakan pelabur. Cuma sebagai Muslim, anda perlu memastikan anda tidak melabur menggunakan hutang daripada bank konvensional yang menggunakan riba.

Pelaburan hartanah patuh syariah

Tiada alasan untuk tidak memilih pelaburan patuh syariah

Di Malaysia, tugas untuk menyaring kepatuhan syariah instrumen pelaburan telah diselesaikan oleh MPS yang terdiri daripada golongan yang pakar dalam bidang kewangan Islam serta cukup berpengalaman dalam industri.

Dengan semua instrumen pelaburan syariah yang ada, tiada lagi alasan untuk anda pilih yang tidak patuh syariah. Paling menarik, pelaburan patuh syariah adalah universal dan semua orang boleh memilihnya tanpa diskriminasi.

Rujukan: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/4501-bayan-linnas-siri-ke-228-pelaburan-patuh-syariah-di-bursa-malaysia-i